SWF

Monday, March 14, 2011

PERMOHONAN POLIGAMI DAN CONTOH BORANG




PERMOHONAN POLIGAMI
DAN
CONTOH BORANG


    Seksyen 23 Enakmen Undang Keluarga Islam Perak Tahun 2004 memperuntukkan, sekiranya seseorang lelaki hendak bernikah dengan seorang perempuan sedangkan lelaki itu sebelum ini mempunyai isteri atau isteri-isteri, beliau atau lelaki itu hendaklah memohon kepada Mahkamah Syariah kebenaran untuk berpoligami.

   Setelah menerima permohonan dari pemohon untuk berpoligami, Mahkamah Tinggi Syariah akan menetapkan tarikh sebutan dalam tempoh 21 hari dari tarikh pendaftaran penfailan kes. Di dalam kes poligami, Mahkamah Tinggi Syariah akan memanggil isteri pertama dahulu untuk mengetahui persetujuan beliau dan ini diikuti dengan memanggil bakal isteri pemohon dan bakal wali kepada bakal isteri untuk bertanyakan persetujuan mereka.

    Di Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Perak kaedah yang digunapakai ialah Mahkamah akan memanggil isteri pertama (isteri pemohon yang sedia ada) bersama Pemohon untuk Sebutan kali pertama yang dibuat di hadapan Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah. Sekiranya isteri pemohon (yang sedia ada) itu bersetuju dan tidak ada apa-apa bantahan terhadap permohonan pemohon untuk berpoligami, Pendaftar Mahkamah Tinggi akan menangguhkan kes itu dihadapan Hakim dan mengarahkan Pemohon (suami) membawa bakal isteri dan bakal wali kepada bakal isteri untuk diambil keterangan pada tarikh tangguhan akan datang. Selepas Hakim mengambil keterangan dan mendengar persetujuan bakal isteri dan wali kepada bakal isteri, Mahkamah akan membuat keputusan samada permohonan poligami pemohon diluluskan atau tidak. Biasanya, di dalam kes-kes permohonan poligami di Mahkamah Tinggi Syariah Perak, jika permohonan berpoligami pemohon dipersetujui oleh isteri yang sedia pemohon, bakal isteri pemohon dan bakal wali kepada bakal isteri pemohon, Mahkamah akan meluluskan permohonan Poligami dan pada hari keputusan dibuat, Mahkamah akan mengeluarkan surat kebenaran berkahwin kepada Pemohon untuk berpoligami.

    Di dalam kes di mana isteri tidak bersetuju suaminya berpoligami, Pendaftar Mahkamah Tinggi semasa sebutan kes akan mengarahkan Isteri yang sedia ada pemohon untuk menfailkan Penyata Pembelaan bagi membantah permohonan pemohon dan selepas Penyata Pembelaan di failkan Pemohon boleh menjawab penyata pembelaan isteri yang sedia ada pemohon dengan menfailkan Jawapan Kepada Penyata Pembelaan. Selepas Pendaftar memastikan Pliding (dokumen-dokumen) di dalam kes lengkap, Pendaftar akan menetapkan tarikh di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah untuk kes dibicarakan. Sekiranya Mahkamah mendapati alasan-alasan isteri yang sedia ada itu relevan, Mahkamah akan membuat keputusan tidak membenarkan Pemohon untuk berpoligami. Walaubagaimanapun, sekiranya Mahkamah mendapati alasan-alasan isteri yang sedia ada pemohon tidak relevan dan Mahkamah mendapati pemohon mampu untuk berpoligami, maka Mahkamah akan meneruskan kes dengan memanggil bakal isteri pemohon dan wali kepada bakal isteri pemohon untuk diambil keterangan dan persetujuan dan seterusnya meluluskan permohonan pemohon untuk berpoligami

    Di Negeri Perak, permohonan berpoligami bolehlah difail di kaunter Mahkamah Tinggi Syariah di alamat Mahkamah Syariah Perak, Tingkat 5, Jalan Pari Off Jalan Tun Abdul Razak, 30100, Ipoh, Perak atau boleh bertanya kepada Pembantu Pendaftar MTS Perak dengan menghubungi di No Telefon 05-5018400.

Berikut adalah dokumen-dokumen yang diperlukan bagi pendaftar kes Poligami
  • Saman dan Penyata Tuntutan (Hendaklah ditaip sendiri oleh Pemohon) -    4 salinan
  • Kad Pengenalan Pemohon - 4 Salinan
  • Surat Nikah dengan isteri yang sedia ada pemohon - 4 salinan
  • Slip Gaji / Pengesahan Pendapatan - 4 salinan
  • Sijil Kelahiran anak-anak yang dalam tanggungan - 4 salinan
  • Borang dari Pejabat Agama ( Kebenaran Berkahwin) - 4 salinan
  • Kad Pengenalan bakal isteri (sekiranya ada) -  4 salinan
  • Apa-apa dokumen berkaitan yang menyokong permohonan ini - 4 salinan
  • Fee RM 100.00 ( Di bayar semasa pendaftaran kes)                                                                      
 

No comments:

Post a Comment